LUMUT – Seorang remaja lelaki ditemukan mati lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Manjung berhampiran Desa Manjung Point II di sini semalam.
Mayat Muhammad Dani Irfan Abu Bakar, 15, ditemukan oleh pasukan penyelamat ketika usaha mencari mangsa pada pukul 8.42 malam.
Mangsa dikatakan memancing bersama tiga rakannya dan dipercayai tergelincir ketika cuba mengambil seliparnya yang terjatuh ke dalam sungai.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Abdul Hazhar Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 2.35 petang.
Menurutnya, seorang rakan mangsa cuba membantu remaja itu namun tidak berjaya dan mereka segera menghubungi pihak bomba.
“Bomba yang tiba di lokasi menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR) di permukaan air sebelum menerima bantuan daripada Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Pulau Pangkor dan agensi lain.
“Mangsa kemudian berjaya ditemui di celah batu di sungai berkenaan pada 8.42 malam kira-kira 10 meter dari tempat dia dipercayai terjatuh,” katanya ketika dihubungi.
Mayat mangsa diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 9.30 malam. – UTUSAN ONLINE











