KEPALA BATAS – Seramai lapan lelaki termasuk remaja berusia 17 tahun yang menjadikan sebuah rumah terbengkalai di Bumbong Lima di sini sebagai lubuk menghisap dadah ditahan penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri awal pagi tadi.
Ketika operasi kira-kira pukul 1.30 pagi itu, kesemua yang ditahan berusia antara 17 hingga 40 tahun dan bekerja sebagai buruh, peniaga serta penganggur berada dalam keadaan khayal kerana di bawah pengaruh dadah.
Penolong Pengarah (Kanan) Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK negeri, Ibrahim Muhamad Said berkata, serbuan oleh sepasukan 10 anggota dan pegawai agensi berkenaan dilakukan selepas mendapat maklumat awam berkenaan lokasi itu yang sering menjadi tumpuan penagih dadah.
“Ketika serbuan, semua suspek tidak sempat melarikan diri kerana berada dalam keadaan khayal.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan menemukan bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah dipercayai heroin seberat 36.66 gram.
“Selain itu, kita turut merampas pelbagai peralatan menghisap dadah, alat penimbang, pemetik api dan gunting daripada suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, tambah beliau, dalam serbuan berasingan di sebuah bangsal di Tasek Gelugor dekat sini, pihaknya menahan empat lelaki yang juga berada di bawah pengaruh dadah.
Kata beliau, ketika pemeriksaan, pihaknya menemukan plastik lutsinar mengandungi dadah dipercayai syabu seberat 5.26 gram dan 14 biji Eramin 5 daripada suspek berkenaan.
“Dalam operasi ini, kita turut menahan dua penagih dadah termasuk seorang wanita berusia 21 tahun yang diserahkan sendiri oleh ahli keluarganya untuk tindakan lanjut.
“Ini kerana dia didapati masih terlibat dengan penyalahgunaan dadah walaupun pernah ditangkap dan dihukum sebelum ini,” katanya.
Tambah beliau, kesemua 12 suspek yang ditahan dalam operasi itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala dua lagi akan direman dibawah Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan. – UTUSAN ONLINE











