Real tawar Bale kepada United - Utusan Malaysia

Real tawar Bale kepada United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Real Madrid bersedia untuk menawarkan Gareth Bale kepada Manchester United sebagai sebahagian pertukaran untuk mendapatkan Paul Pogba.

Selepas berjaya mengikat perancang utama Belgium, Eden Hazard dari Chelsea, gergasi bola sepak Sepanyol terdesak untuk menjadi Pogba sasaran berikutnya.

Bale, 29, memberitahu ahli lembaga Real bahawa dia tidak bersedia untuk pulang ke pangkuan Tottenham atau menyertai United, malah tidak berhasrat meninggalkan Santiago Bernabeu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun berjaya membantu Real menjulang empat kejuaraan Eropah, selain satu gelaran La Liga sepanjang enam musim bersama Los Blancos, namun penyerang Wales itu tiada dalam perancangan pengendali pasukan, Zinedine Zidane.

Bale juga gagal menyerlah musim lalu apabila sekadar menjaringkan lapan gol daripada 28 perlawanan, yang menyaksikan Real menutup musim tanpa sebarang trofi.

Pengulas bola sepak ESPN, Shaka Hislop percaya, Bale sepatutnya mempertimbangkan perpindahan ke Old Trafford kerana dia adalah pemain yang sesuai dengan Red Devils.

“Manchester United mungkin akan menandatangani Gareth Bale.

“Persoalannya sekarang, apakah Bale mahu ke Old Trafford atau tidak kerana kelab itu tidak beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan.

“Begitupun, kalau kita berbincang soal keserasian atau kesesuaian, saya percaya dia mampu menjadi pemain yang baik di Manchester,” kata Hislop kepada ESPN FC.

Sementara itu, bekas penjaga gol Everton dan Wales, Neville Southall turut senada dengan Hislop dengan menggesa United segera mengorak langkah mendapatkan Bale.

“Kalau Bale beraksi buat Manchester United, saya akan melihat seperti mereka memiliki (Ryan) Giggs dan (David) Beckham. Dia memiliki kepantasan dan mampu menjadi pemain yang sempurna di Old Trafford,” katanya kepada talkSPORT. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini