RCI:Khalid pertahankan arahan - Utusan Malaysia

RCI:Khalid pertahankan arahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mempertahankan arahan yang telah dikeluarkannya dalam kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada Januari 2015.

Arahan ‘hold on’ oleh Khalid yang merupakan saksi ke-47 itu menjadi isu hangat dalam sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini kerana arahan itu dikatakan menjadi punca siasatan tertangguh selama dua bulan.

Khalid berkata, arahan itu dikeluarkan kerana Ketua Polis Perlis ketika itu, Datuk Zul Aznam Haron dalam taklimat tidak dapat mengenal pasti sama ada lokasi penemuan kem dan kubur itu di sebelah Malaysia atau Thailand.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Arahan itu dikeluarkan kerana Ketua Polis Perlis ketika itu tidak dapat mengesahkan lokasi kes tersebut sama ada di kawasan Malaysia atau Thailand. Mereka sepatutnya dapatkan kepastian mengenai lokasi itu selain maklumat lanjut lain.

“Kita kena pastikan lokasi kes kerana isu sempadan perkara yang sensitif,“ katanya dalam sesi pendengaran awam RCI mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis di sini hari ini.

Ketika menjawap soalan Pengerusi RCI, Tun Arifin Zakaria kenapa mengambil masa begitu lama untuk mengenal pasti lokasi kejadian, Khalid berkata, berkemungkinan polis Perlis sedang mengumpulkan maklumat lain dalam kes itu.

“Saya kira masa itu mereka kumpul maklumat dan saling bertukar hasil siasatan dan risikan dengan pihak berkuasa Thailand kerana ia melibatkan kawasan sempadan antara kedua-dua negara.

“Adalah tidak benar mengenai dakwaan saya tidak ambil berat dalam kes ini, bagi saya pembongkaran kes ini adalah satu kejayaan kepada polis dan saya amat berpuas hati dengan segala tindakan yang telah diambil,” katanya.

Khalid berkata, tidak lama selepas penemuan kem penempatan dan kubur di Wang Kelian, beliau telah membangkitkan perkara itu kepada Ketua Polis Thailand dalam mesyuarat yang telah berlangsung di Phuket, Thailand.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, hasil siasatan pihaknya, penempatan yang ditemukan di Wang Kelian disifatkan sebagai ‘safe haven’ kepada kepada kem-kem utama yang terdapat di kawasan Thailand.

“Modus operandi kes ini ialah pendatang asing tanpa izin (PATI) ditempatkan di kawasan Thailand, selepas ahli keluarga membayar wang tebusan barulah mereka dibawa ke kawasan Malaysia. Kes ini juga didalangi oleh warga Thailand,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini