ARAU – Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hairi Noor Mohammed percaya rakyat sudah hilang keyakinan terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas yang dilihat gagal menjalankan tugas dengan baik khususnya melibatkan beberapa isu penting.
Justeru, kata Noor Hairi, Tommy perlu mengambil tanggungjawab melepaskan jawatan dengan segera bagi memastikan sistem perundangan negara kembali diyakini.
Kata beliau, pendedahan bekas peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Shazlin Mansur mengenai campur tangan Peguam Negara dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim adalah antara tindakan paling dikesali.
“Tindakan itu akan memberi kesan buruk kepada sistem perundangan negara dan menghilangkan kepercayaan rakyat sama ada Peguam Negara mampu bersikap adil atau sebaliknya.
“Rakyat sedang mengikuti perkembangan kes ini dengan dekat bagi melihat pelaku yang menyebabkan kematian Muhammad Adib dihukum.
“Harapan rakyat terlalu tinggi, namun Peguam Negara setakat ini dilihat gagal memainkan peranan dengan berkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Syazlin yang sebelum ini menarik diri daripada prosiding inkues kematian Muhammad Adib mendedahkan mengenai campur tangan Peguam Negara dalam prosiding inkues kematian tersebut.
Syazlin yang memutuskan untuk kembali mewakili keluarga Muhammad Adib dalam prosiding inkues kematian itu dilaporkan berkata, cubaan itu dapat dilihat dalam hal berkaitan keterangan yang dikemukakan saksi pakar.
Sementara itu, Noor Hairi berkata, selain isu Muhammad Adib, Tommy juga dilihat melakukan pendakwaan terpilih apabila menggugur sepenuhnya kes rasuah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng walaupun prosiding mahkamah telah pun berjalan.
“Tindakan itu mengecewakan, apatah lagi apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama ini melaung-laungkan mengenai prinsip memelihara kedaulatan undang-undang. Melihat kepada situasi ini, ternyata, Tommy gagal,” katanya.- UTUSAN ONLINE











