Qiam gesa pelantikan Latheefa dikaji semula - Utusan Malaysia

Qiam gesa pelantikan Latheefa dikaji semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Jun – Kerajaan digesa mengkaji semula pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar dapat menjaga maruah dan intergriti dalam kalangan rakyat negara ini dan masyarakat antarabangsa.

Mengakui tergamam dengan pertukaran ‘mengejut’ kepemimpinan SPRM itu, Presiden Pertubuhan Gerakan Qiam Malaysia (Qiam), Datuk Sirajuddin Salleh berkata, jawatan tersebut biasanya disandang oleh pegawai yang mempunyai pengalaman luas melibatkan kerja pencegahan rasuah atau kepolisan serta mendapat sokongan padu daripada pegawai kerjaya SPRM.

Beliau malah menegaskan bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty itu nyata tidak mempunyai pengalaman demikian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Latheefa juga adalah seorang yang aktif dalam parti politik yang memerintah. Kedudukan ini dikhuatiri boleh menjejaskan profesionalisme beliau ketika menjalankan tugas.

“Selain itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga telah menegaskan untuk tidak melantik ahli-ahli parti terutamanya yang aktif memegang jawatan awam dan badan berkanun. 

“Saranan ini mempunyai hasrat yang sama supaya perkhidmatan awam sentiasa berkecuali dalam menjalankan tugas. Jangan sampai rakyat kata dua kali lima sahaja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Pejabat Perdana mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu.

Semalam, Dr. Mahathir berkata, pelantikan Latheefa dibuat atas keputusannya sendiri dan tidak dibincangkan dengan anggota Kabinet.

Mengulas lanjut, Siranuddin berkata, sejak kebelakangan ini didapati perkhidmatan awam tidak lagi berkecuali apabila pegawai kanannya dilihat lebih condong menyokong pemimpin parti pembangkang.

Malah, katanya, ahli-ahli pentadbiran ketika ini juga mendapati sukar untuk arahan yang diberi untuk dilaksanakan. 

Jelas beliau, mereka pada masa ini digesa untuk menghayati semula prinsip asas perkhidmatan awam iaitu berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab tanpa takut dan memilih bulu.

“Dalam usaha untuk memulihkan keadaan ini, satu kejutan berlaku apabila Latheefa yang merupakan ahli tertinggi PKR dilantik memegang jawatan penting dalam kerajaan yang memerlukan integriti tinggi terutamanya ketika membuat keputusan berkaitan kerjanya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Apakah beliau mampu berlaku adil jika salah seorang ahli parti termasuk pemimpin atasan partinya perlu dituduh di mahkamah atas kes rasuah?.

“Kita berharap jangan pisang berbuah dua kali! Jika itu berlaku maka musnahlah keredibiliti SPRM,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini