Putra 'payung sebelum hujan' buat bumiputera - Utusan Malaysia

Putra ‘payung sebelum hujan’ buat bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menganggap perjuangan yang ditampilkan parti itu bakal menjadikannya sebagai ‘payung sebelum hujan’ dalam mempertahankan hak golongan bumiputera.

Walaupun dikritik ramai pihak yang menyatakan penubuhan Putra hanya merugikan orang Melayu, namun Presiden Penaja Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali menganggap perpecahan dalam kalangan orang Melayu bukan disebabkan kerana mempunyai banyak parti tetapi dek kerana pemimpin yang tidak melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

Berikut merupakan kenyataan penuh Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa):

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi pihak seluruh warga pimpinan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) serta diri saya dengan rasa penuh hormat, rendah diri dan istiqamah mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia amnya dengan lafaz maaf zahir batin, minal aidil walfaizin.

Sebulan berpuasa dan Syawal adalah hari bagi kita umat Islam bergembira dan bersyukur kerana berjaya menunaikan salah satu rukun iman yang wajib bagi Allah S.W.T. Semoga ibadah puasa kita diterima oleh Allah S.W.T dengan penuh berkat dan nikmat.

Kita semua sedia maklum bahawa mutakhir ini pelbagai ancaman penghinaan telah berlaku terhadap agama suci Islam, bangsa kita orang Melayu dan Raja-raja Melayu yang merupakan tonggak negara Malaysia. Ancaman ini berterusan melalui berbagai cara dan perbuatan.

Lebih 10 tahun Perkasa berusaha sebagai sebuah NGO untuk menongkah malapetaka ini dengan pelbagai tindakan dan desakan serta bersuara lantang. Perkasa tidak peduli apa saja tohmahan rasis, ekstremis dan berbagai label namun terus istiqamah dengan perjuangan demi Islam, bangsa, raja dan negara.

Kini langkah seterusnya perjuangan terarah pula melalui Putra yang tidak akan bersifat apologetik tetapi tegas memperjuangkan dan mempertahankan segala hak bumiputera yang terkandung dalam asas Perlembagaan Persekutuan tanpa rasa rendah diri, jauh sekali menjual maruah bangsa kerana undi semata-mata.

Hukum tetap hukum, halal tetap halal, haram tetap haram, hak tetap hak dan kepemimpinan yang bersih serta benar-benar berintegriti dan jauh sekali bersifat hipokrit serta munafik. Insya-Allah pasti akan membawa ummah bersatu padu kerana guru kencing berdiri maka murid pasti kencing berlari. Perpecahan bukan kerana banyak parti tapi kerana pemimpin cakap lain buat lain.

Semoga musibah yang dialami dan dilalui oleh umat Islam kini diharap memberi pengajaran kepada kita semua supaya Allah S.W.T memberi petunjuk ke jalan yang diredhainya. Insya-Allah.

Putra akan bangkit berjuang sebagai parti politik bumiputera yang boleh diharap agar jangan bumi dipijak orang kerana Malaysia adalah Tanah Melayu dan jangan menang sorak kampung tergadai. Putra adalah payung sebelum hujan untuk bumiputera dan ibarat Taming Sari bagi perjuangan menjaga kemulian Islam.

Perkasa akan tetap kekal sebagai NGO yang akan terus menggalas perjuangan dulu, kini dan selamanya sebagaimana matlamat yang termaktub dalam Perlembagaan Perkasa. Insya-Allah proses peralihan kepimpinan akan dibuat secara teratur pada penghujung tahun ini semasa Persidangan Tahunan Perkasa.

Sekali lagi disusuli dengan lafaz maaf zahir batin dari Putra dan Perkasa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini