Provokasi terhadap anggota penguat kuasa DBKL selepas kantoi jual air tanpa lesen - Utusan Malaysia

Provokasi terhadap anggota penguat kuasa DBKL selepas kantoi jual air tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Insiden provokasi oleh penjaja troli menjual air minuman terhadap anggota penguat kuasa yang berlaku di Jalan Raja di sini, Khamis lalu berikutan tidak berpuas hati apabila barangan jualan disita selepas ‘kantoi’ berniaga tanpa lesen.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan sita dikenakan mengikut Undang-undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 kerana penjaja tidak mempunyai lesen dan tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan itu untuk beroperasi.

“Lokasi berniaga juga tidak sesuai dan telah menyebabkan halangan awam antaranya mengganggu tempat letak kenderaan, kesesakan lalu lintas dan mencemar kebersihan persekitaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malah di kawasan Dataran Merdeka juga telah ditempatkan Food Truck yang menjual pelbagai makanan termasuk minuman.

“Aktiviti penjaja troli air ini juga telah menjejaskan perniagaan Food Truck yang sememangnya mempunyai kebenaran dan lesen daripada DBKL,” katanya.

DBKL menjelaskan, provokasi yang berlaku kira-kira pukul 11 malam tersebut telah dimulakan oleh penjaja troli berkenaan yang membaling air ke arah anggota penguat kuasa yang menjalankan kawalan.

“Keadaan menjadi lebih kecoh apabila terdapat campur tangan daripada penjaja lain di sekitar lokasi.

“Sehubungan itu, dua individu terbabit telah ditahan kerana cubaan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas,” katanya.

Tambahnya, pihaknya menasihatkan penjaja tidak berlesen untuk membuat permohonan lesen penjaja waktu terhad yang telah dilancarkan baru-baru ini bagi mengelakkan sitaan dilakukan.

Katanya, sebanyak 25 sitaan telah dilakukan pada malam tersebut terhadap peniaga yang tidak berlesen. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini