PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk mengadakan program khas kepada pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) bagi mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan akan mengaturkan sesi khas bersama OKU dalam menganjurkan program berkenaan.
Katanya sehubungan itu, para pemandu OKU terbabit perlu melalui beberapa proses sebelum mereka mendapatkan kad lesen PSV.
“Yang pertamanya, mereka perlu menjalani proses pemeriksaan kesihatan dengan pemakluman lanjut seperti proses dan lokasi akan ditentukan dalam masa terdekat.
“Mereka kemudiannya hendaklah menjalani latihan secara digital dalam talian iaitu selama enam jam berdasarkan modul ditetapkan JPJ dan ia boleh dilakukan melalui Penyelia Perkhidmatan (EHO) dengan tanpa menghadirkan diri ke pusat latihan memandu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Anthony lagi, proses seterusnya adalah ujian bertulis PSV selama satu jam yang bakal dilaksanakan pada 1 Julai depan di Dewan Serbaguna Kementerian Pengangkutan di sini.
“Pihak JPJ selepas itu akan memaklumkan keputusan ujian dan mengeluarkan kad selepas lima hari ujian PSV dilaksanakan.
“Kad akan diserahkan kepada EHO dan pihak berkenaan perlu mengedarkan kepada pemandu OKU yang berjaya,” katanya.
Beliau memaklumkan, kadar keseluruhan untuk proses itu adalah berjumlah RM320 seorang, namun semuanya kos ditanggung oleh pihak EHO seperti Grab, MyCar dan Ezcab sebagai satu tanggungjawab sosial.
Pada masa sama, Anthony memaklumkan, kerajaan mengambil inisiatif untuk membenarkan golongan OKU mendaftar sebagai pemandu e-hailing kerana mahu nasib mereka terbela khususnya menerusi potensi pendapatan.
Katanya, buat masa kini terdapat 367 pemandu e-hailing OKU di negara ini yang berdaftar di bawah EHO masing-masing. – UTUSAN ONLINE











