IPOH – Syarikat korporat dan juga individu berpeluang untuk memainkan tanggungjawab memelihara hutan simpan menerusi program pokok angkat yang bakal diperkenalkan Jabatan Perhutanan negeri Perak.
Menerusi inisiatif ini, pihak yang berminat boleh membeli sebatang pokok yang ditanam di kawasan hutan simpan pada harga RM5,000 melalui program dikenali Perak Oxygen Land Bank.
Pengarah Perhutanan negeri Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, program berkenaan menawarkan peluang kepada pihak yang terlibat untuk menjayakan misi yang berbentuk tanggungjawab sosial korporat.
Menurut beliau, ia juga antara kaedah kreatif merancakkan aktiviti pemulihan hutan di samping meningkatkan kesedaran tentang pentingnya memelihara sumber genetik hutan.
“Dua kawasan dipilih iaitu Hutan Simpan Chikus di Bidor yang mengandungi petak demonstrasi hutan seluas 71.5 hektar dan Hutan Simpan Belum. Cuma keluasan di Belum akan ditentukan oleh pihak Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM).
“Ini juga bakal menyumbang pendapatan baharu kepada kerajaan negeri dan setiap pembeli akan menerima Sijil Pelepasan Cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar semasa hadir pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perhutanan Negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong di sini hari ini.
Kira-kira 800 orang tetamu hadir pada majlis berkenaan termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, barisan Exco serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
Mengulas lanjut kata Mohamed Zin, inisiatif yang julung-julung kali diperkenalkan itu dapat membangun dan menyediakan aktiviti pembelajaran berkaitan bidang perhutanan seperti ekosistem dan tumbesaran spesies.
Katanya lagi, Hutan Simpan Chikus misalnya yang berkeluasan kira-kira 2,500 hektar itu adalah satu-satunya hutan simpan pamah yang terdapat di Perak dan dijadikan kawasan ladang hutan.
“Sebanyak 44 spesies pokok yang akan dijual di Hutan Simpan Chikus secara berfasa manakala jenis pokok di Belum pula akan ditentukan selepas bancian oleh pihak FRIM.
“Program pokok angkat ini akan diperkenalkan secara rasmi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada satu majlis September nanti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










