KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Bhd. (MAB) menyaksikan peningkatan marginal dalam hasil berikutan penambahan kapasiti dan pertumbuhan positif penumpang sebanyak lima peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Izham Ismail berkata meskipun terdapat peningkatan dalam prestasi operasi suku pertama berbanding tahun lepas pihaknya menjangkakan 2019 akan menjadi sangat mencabar.
“Persekitaran persaingan dijangka terus meningkat pada tahun 2019 didorong oleh lebihan kapasiti di rantau ini serta domestik. Ini sebahagian besarnya didorong oleh pasaran riadah yang sensitif terhadap harga yang mana turut memberi impak secara langsung kepada hasil kumpulan.
“Walaupun kami telah melindung nilai terhadap bahan api dan tukaran mata wang asing, kami akan terus dipengaruhi oleh ketidaktentuan luar seperti perang perdagangan yang sedang berjalan antara Amerika Syarikat dan China,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE











