Prestasi perdagangan positif pada separuh kedua 2019 - MIDF - Utusan Malaysia

Prestasi perdagangan positif pada separuh kedua 2019 – MIDF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka mencatat prestasi yang baik antara Ogos dan Oktober 2019 berikutan unjuran prestasi ekonomi yang positif pada separuh kedua tahun ini, menurut MIDF Research.

Merujuk kepada jangkaan perniagaan untuk tempoh enam bulan akan datang, katanya prestasi perniagaan secara keseluruhan dijangka bertambah baik.

“Prestasi perniagaan secara keseluruhan pada separuh kedua 2019 dijangka mencatatkan peningkatan, terutamanya dalam sektor perkhidmatan, perlombongan dan pembinaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Permintaan domestik yang kukuh dan tekanan inflasi yang rendah merupakan faktor asas yang menyokong sektor perkhidmatan. Bagaimanapun, sektor pembuatan yang merupakan sektor berorientasikan eksport, diunjurkan sederhana susulan perdagangan global yang lembap,” katanya dalam kenyataan.

Firma penyelidikan itu juga berkata eksport negara sekali lagi menunjukkan pertumbuhan positif dengan meningkat semula kepada 1.1 peratus tahun ke tahun pada April, susulan dua bulan berturut-turut merosot.

Bagaimanapun, import naik pada kadar yang lebih cepat sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun. Oleh itu, lebihan dagangan susut kepada RM10.9 bilion (April 2018 : RM13 bilion).

MIDF berkata, pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak empat peratus tahun ke tahun pada April lepas, tertinggi sejak Oktober 2018, dan mengatasi jangkaan pasaran sebanyak 2.5 peratus tahun ke tahun.

Pertumbuhan itu disebabkan pengeluaran perlombongan yang meningkat semula dan peningkatan berterusan dalam pengeluaran pembuatan dan elektrik.

“Mengenai masa depan, kami menjangka prestasi IPP berkembang pada kadar sederhana pada separuh kedua 2019, disokong oleh kesan kadar dasar semalaman yang rendah, tekanan inflasi yang rendah, permintaan domestik yang stabil, perkembangan positif dalam sektor pembinaan dan harga komoditi yang naik secara berperingkat.

“Bagaimanapun, faktor perang perdagangan kekal menjadi risiko kepada aktiviti perdagangan global dan aktiviti industri Malaysia,” menurut MIDF.

Mengenai pekerjaan, katanya kekosongan pekerjaan di Malaysia terus didominasi oleh jenis pekerjaan berkemahiran rendah.

Menurut MIDF, pihaknya yakin penguasaan pekerjaan berkemahiran rendah akan berkurangan secara berperingkat dan pekerjaan berkemahiran tinggi akan meningkat pada masa depan.

Ia menjangka prestasi eksport semula akan terus merosot, berikutan kesan asas yang lebih tinggi dan pasaran global yang lembap, terutama bagi sektor elektrik dan elektronik.

Selain itu, dengan pemulihan dijangka dalam perlombongan dan barangan pertanian, MIDF menjangka eksport domestik akan terus meningkat, menawarkan lebih banyak kekosongan untuk pekerjaan berkemahiran sederhana dan tinggi. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini