KUALA PILAH – Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan polis selepas dia mengamuk di sebuah kedai dobi layan diri di Jalan Melang dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, suspek bertindak agresif dan merosakkan harta benda di luar premis itu.
Menurut beliau, lelaki berkenaan turut memaki hamun orang ramai dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi tersebut.
“Suspek menumbuk dinding dan merosakkan pelbagai peralatan di luar premis tersebut menyebabkan orang ramai menghubungi pihak polis.
“Sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi lalu menahan suspek,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Haslah berkata, ujian saringan air kencing keatas lelaki tersebut mendapati suspek positif penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine.
Tambah beliau, semakan juga mendapati suspek memiliki beberapa rekod lampau berkaitan dadah.
Jelas beliau, kes itu disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Polis belum dapat merakam keterangan suspek kerana berada di bawah pengaruh dadah. Suspek direman 14 hari bermula hari ini sehingga 25 Jun ini,” katanya. – K! ONLINE











