KEMAMAN – Polis sedang memburu dua lelaki kerana dipercayai melarikan beg tangan seorang wanita warga Filipina di pekarangan sebuah premis kedai runcit di Taman Perwaja di sini semalam.
Ekoran kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa yang berusia 38 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah berkata, mangsa dikatakan singgah di kedai runcit itu untuk berurusan dan meninggalkan beg tangannya di dalam kereta Perodua MyVi yang dipandu tanpa mengunci kenderaan tersebut.
“Kemudian, muncul sebuah kereta Perodua MyVi yang dinaiki kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an itu dan berhenti di tepi kereta mangsa dengan suspek yang duduk di bahagian penumpang keluar sambil memerhatikan keadaan sekeliling sebelum pergi ke kereta wanita terbabit.
“Suspek dengan pantas membuka pintu kereta mangsa lalu mengambil beg tangan dan terus melarikan diri dengan kenderaan yang sedang menanti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Haki, mangsa yang menyedari kejadian itu cuba mengejar kereta suspek namun gagal.
Katanya, akibat kejadian itu, mangsa kehilangan pasport, kad bank, Mykid dan sebuah telefon pintar jenis Oppo.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah ini atau menghubungi Bilik Gerakan di talian 09-8592222,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – UTUSAN ONLINE











