SEREMBAN – Polis sedang memburu lelaki yang terlibat dalam satu rakaman video merosakkan barang-barang makanan di kedai serbaneka di sebuah pasar raya di Nilai dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, pihak pengurusan premis membuat laporan berhubung kejadian itu pada pukul 11.20 malam tadi.
Menurut beliau, polis sedang giat mengesan suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
“Pengurus premis melihat video kejadian yang tular dalam media sosial itu berlaku di premisnya lalu membuat semakan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Lelaki terbabit dengan sengaja merosakkan barang makanan dan minuman mengakibatkan kerugian RM30,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Berdasarkan rakaman video yang tular, lelaki terbabit dilihat menggoncang beberapa kek, memicit roti, meminum minuman berbotol dan mengalihkan produk-produk lain dari susunan asal yang berada di rak jualan kedai berkenaan.
Lelaki itu yang melakukan perbuatan tersebut sambil ketawa dan dirakam oleh rakannya sebelum dikongsikan melalui Instagram menerima kecaman pengguna media sosial. – UTUSAN ONLINE











