KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihak polis boleh memanggilnya pada bila-bila masa dan beliau menzahirkan kesediaannya untuk membantu siasatan membabitkan kes penularan video seks songsang yang didakwa miripnya sejak Rabu lalu.
Beliau juga mengulangi pendiriannya untuk memberikan komitmen penuh kepada pasukan keselamatan itu, bagaimanapun tidak boleh dilakukan hari ini kerana mempunyai program di Pulau Pinang.
“Saya tidak dapat tentukan bila mereka (polis) perlu menghubungi saya, tetapi saya dimaklumkan oleh pejabat bahawa mereka (polis) telah menghubungi saya, tetapi saya akan pergi ke Pulau Pinang hari ini.
“Sudah tentu saya boleh dihubungi esok atau bila-bila masa oleh pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Silaturahim Aidilfitri DUN Gombak Setia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada polis ada menghubunginya selepas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dengan video seks itu dilepaskan dengan jaminan polis semalam.
Semalam, Haziq Abdulllah dilepaskan di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas memberi keterangan kepada polis setelah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang, dekat sini selepas dikatakan bercadang untuk ke Manila, Filipina. – UTUSAN ONLINE











