Pihak berkuasa perlu bertindak - Utusan Malaysia

Pihak berkuasa perlu bertindak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Parti Negara hari ini menggesa pihak berkuasa bertindak dan melakukan siasatan terperinci berhubung penularan video seks dan salinan resit bank yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan.

Isu terbabit perlu dilihat secara serius memandangkan pihak didakwa terlibat menggalas tanggungjawab dalam urusan pentadbiran negara.

Berikut merupakan kenyataan penuh Presiden Parti Negara, Datuk Ezam Mohd. Nor:

Memuatkan artikel berkaitan…

Parti Negara memandang serius dakwaan yang dibuat oleh seorang individu yang tular dalam media sosial mendakwa seorang menteri terlibat di dalam rasuah dan hubungan luar tabie.

Parti Negara juga meneliti salinan dokumen bank yang juga tular dalam media sosial yang mengaitkan menteri terbabit dengan sebuah syarikat awam (syarikat tersenarai dalam Bursa Malaysia) iaitu sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun beliau daripada syarikat tersebut.

Pada hemat kami dakwaan ini serius kerana ia datang daripada individu yang merupakan kakitangan awam (beliau adalah pegawai kepada Timbalan Menteri).

Ia juga harus dipandang berat kerana membabitkan sejumlah foto dan video yang mengaitkan dan mengaibkan seorang menteri.

Justeru dakwaan ini tentunya memberi kesan kepada keutuhan pentadbiran kerajaan dan memberi kesan kepada rakyat keseluruhannya dari sudut norma, nilai agama dan budaya ummat.

Parti Negara menggesa pihak berkuasa iaitu PDRM, SPRM serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil tindakan segera bagi menghentikan sebaran foto dan video melampau ini khususnya dalam media sosial yang semakin tular.

Dalam masa sama siasatan yang menyeluruh mesti dilakukan segera terhadap setiap dakwaan itu dalam ruang lingkup undang-undang dan menghormati maruah setiap individu dan mempertahankan sistem nilai tamadun bangsa ini.

Parti Negara menegaskan pendirian kami tiada kompromi bagi fitnah dan dakwaan palsu terhadap mana-mana pentadbiran kerajaan apatah lagi di saat kerajaan memerlukan fokus total menghadapi cabaran ekonomi yang mendesak sekarang.

Dalam masa yang sama kami juga menegaskan sesungguhnya tiada juga kompromi terhadap mana-mana kesalahan rasuah oleh sesiapa pun dan tidak ada kompromi dan ruang sama sekali bagi hubungan luar tabie bagi sesiapa jua khususnya bagi seorang pemimpin sekiranya ia terbukti benar melalui proses hukum di negara ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini