GUIMARAES, Portugal – Jordan Pickford muncul wira England apabila meledak gol dan menyelamatkan sepakan penalti ketika menumpaskan Switzerland untuk menduduki tangga ketiga Liga Negara-Negara Eropah, hari ini.
Skuad Three Lions menang menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga tamat 120 minit permainan di utara Portugal.
England menguasai sebahagian besar perlawanan dan memperoleh beberapa peluang menerusi Harry Kane, Dele Alli serta Raheem Sterling manakala gol lewat minit Callum Wilson dinafikan oleh sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).
Kecekapan penjaga gol Switzerland, Yann Sommer turut menggagalkan peluang England untuk mencatat kemenangan dalam waktu sebenar permainan.
Three Lions menyempurnakan kesemua enam sepakan penalti, termasuk tendangan Pickford yang kemudian bertindak cemerlang menafikan sepakan
Josip Drmic untuk mengesahkan kemenangan pasukannya.
Pengurus England, Gareth Southgate melakukan tujuh pertukaran daripada skuad yang tewas 1-3 kepada Belanda dalam separuh akhir, Jumaat lalu kerana sebahagian besar pemain utama ketika itu baru pulang daripada final Liga Juara-Juara.
Kane kembali memakai lilitan kapten manakala bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold membuat penampilan kedua dalam aksi kompetitif. – AFP











