KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyampaikan rasa kurang senangnya terhadap pelantikan bekas Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu kelmarin.
Walaupun mengiktiraf kelayakan Latheefa untuk jawatan itu, namun proses pelantikannya dikritik pertubuhan itu.
Menurut Bersih 2.0, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu menghormati institusi Parlimen, lebih-lebih lagi Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen (JKPP) yang sepatutnya membuat penilaian tentang pelantikan itu.
“Mungkin sudah mustahil untuk membatalkan pelantikan penting yang telah dibuat, namun Bersih 2.0 menggesa Perdana Menteri untuk menghormati institusi Parlimen dan membenarkan JKPP untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama membuat penilaian pelantikan Ketua Pesuruhjaya, Ketua Hakim, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“Penilaian itu akan mengesahkan pelantikan oleh Perdana Menteri dan memberi pengiktirafan yang lebih tinggi serta keabsahan kepada individu yang dilantik, lebih-lebih lagi individu seperti Latheefa Koya yang mempunyai latar belakang politik,” kata pertubuhan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemandunya hari ini.
Semalam, Dr. Mahathir mengesahkan pelantikan Latheefa dibuat oleh beliau sendiri tanpa merujuk kepada Kabinet.
JKPP juga telah memaklumkan bahawa pelantikan itu tidak dirujuk kepada pihak mereka.
Mengulas lanjut, Bersih 2.0 menyuarakan kebimbangannya tentang salah guna kuasa apabila pelantikan secara sendiri digunakan oleh Perdana Menteri.
Pertubuhan itu turut menyamakan tindakan Dr. Mahathir dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa melantik sekutunya dalam jawatan penting untuk melepaskan diri daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan untuk mengekalkan kuasa. – UTUSAN ONLINE











