XIAN, China – Sebuah pusat pengedaran rasmi kenderaan jenama Mercedes-Benz di sini didenda lebih 1 juta yuan kerana didapati menjual kereta rosak dan mengelirukan pelanggan, menurut laporan akhbar Daily Mail baru-baru ini.
Pusat pengedaran itu, Xi’an Lizhixing Automobile menimbulkan kemarahan orang ramai selepas satu video tular sejak bulan April lalu menunjukkan seorang pelanggan wanita mendakwa kereta baharu yang dibelinya sudah ada kebocoran minyak.
Satu rakaman video menunjukkan pemilik bernama Wang Qian itu duduk di atas bonet kereta berwarna merah di dalam sebuah pusat pameran dan menuduh penjual kereta cuba mengelakkan daripada memenuhi tuntutannya, iaitu menggantikan kereta rosak itu.
Dia mengadakan protes di bilik pameran pengedar itu selepas mendapati ada kebocoran minyak walaupun belum memandu keretanya keluar daripada pusat berkenaan.
Qian membeli kereta Mercedes-Benz CLS 300 coupe itu pada harga 660,000 yuan (RM400,840).
Pusat pengedar itu diarahkan membayar 1 juta yuan (RM607,300) kepada pihak perbendaharaan China berhubung satu siasatan oleh pemerhati pasaran daerah Gaoxin di Xi’an.
Pihak berkuasa dalam satu kenyataan mengesahkan dakwaan minyak bocor dan menyifatkan ia sebagai ‘satu masalah kualiti produk’, lapor agensi berita Xinhua.
Agensi pemerhati pasaran mengenakan denda 500,000 yuan terhadap Xi’an Lizhixing Automobile kerana membekalkan ‘produk dan perkhidmatan yang gagal melindungi keselamatan peribadi serta keselamatan harta’.
Pengedar itu juga didenda 500,000 yuan kerana mengelirukan pelanggan dan meraih keuntungan daripada perbuatan itu.
Xi’an Lizhixing Automobile dan Ketua Pegawai Operasi Daimler China, Hubertus Troskas memohon maaf berhubung perkara itu. Daimler ialah ibu syarikat kepada Mercedes-Benz. – Agensi











