Penduduk Klang, Kuala Langat terima bekalan air semula - Utusan Malaysia

Penduduk Klang, Kuala Langat terima bekalan air semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seramai 155,000 akaun berdaftar Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) di sekitar Klang dan Kuala Langat boleh menarik nafas lega menyambut kemeriahan Hari Raya Aidilfitri apabila bekalan air pulih secara berperingkat hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, kerja-kerja pembaikan paip utama 1,800 millimeter yang pecah di Setia Alam berjaya diselesaikan pukul 4 pagi tadi.

“Bekalan telah dibuka sejurus kerja siap dan pemulihan sedang berlangsung secara berperingkat dan beberapa kawasan sudah mula mendapat bekalan air.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pihak kami sedang menumpukan fokus bagi meningkatkan tekanan dan menstabilkan aliran bekalan sistem agihan bagi mempercepatkan pemulihan ke semua kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan, bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki masih diteruskan sehingga bekalan air pulih sepenuhnya. 

Ujarnya, pengaktifan lima buah Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan tiga lokasi pili awam masih diteruskan bagi menyalurkan bantuan kepada pelanggan terjejas. 

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan pelanggan boleh menghubungi kami talian 15300 bagi mendapatkan sebarang bantuan. 

“Sebarang maklumat terkini juga boleh dirujuk di laman sesawang www.syabas.com.my dan aplikasi telefon bimbit Air Selangor serta Facebook Air Selangor,” katanya. 

Kosmo! Online semalam melaporkan ribuan pengguna di 84 buah kawasan sekitar Klang sekali lagi mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan paip pecah di jajaran paip utama 1,800 millimeter (mm) di Setia Alam di sini.

Turut mengalami nasib sama adalah penduduk di 22 kawasan di sekitar Kuala Langat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini