PASIR PUTEH – Tindakan Pemuda Pakatan Harapan (PH) membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung dakwaan UMNO menerima dana berjumlah RM212 juta yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disifatkan satu tindakan pengecut.
Anggota Exco Pemuda UMNO pusat, Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata, gara-gara khuatir PH tergugat berikutan tindakan rakyat mula menyokong penyatuan UMNO dan Pas, mereka kini mula mencari jalan kotor bagi menyekat kebangkitan tersebut.
Menurutnya, Pemuda PH tidak sepatutnya mencampuri isu berkenaan yang melibatkan kes di mahkamah dan perbicaraan mengenai 1MDB pada ketika ini masih belum berjalan.
“Semua ini akan ditentukan oleh mahkamah bukannya berasaskan publisiti murahan ketua pemuda parti berkenaan. Dia sepatutnya lebih fokus kepada isu keperluan rakyat di peringkat akar umbi, mengkaji semula dan menunaikan manifesto yang sepatut mereka tunaikan.
“Malah, masalah moral yang ditimbulkan dalam parti itu juga perlu dibersihkan menerusi maklumat yang tepat dan telus,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh, di Kompleks UMNO Uthmaniyah, Pulau Lima, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian, Datuk Zawawi Othman; Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Muhammad Saifullah Ali dan Ketua Pemuda Pas Pasir Puteh, Suhaizi Kadir.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipetik berkata, UMNO harus dihukum kerana sebagai parti politik, ia tidak boleh menerima wang haram demi kepentingan parti itu.
Susulan itu, Isnin lalu, Ketua Penerangan Pemuda PH, Ulya Aqamah Husamudin membuat satu laporan kepada pihak ROS meminta tindakan keras berdasarkan undang-undang dikenakan ke atas UMNO yang terlibat dengan kes itu.
Mengulas lanjut, Wan Muhammad Azri yang juga blogger Papagomo berkata, kepimpinan pemuda PH sebenarnya tidak berani tampil berhadapan dengan rakyat untuk menjelaskan pelbagai perkara dalaman yang berlaku mutakhir ini.

“Mereka sebaliknya sibuk menyalahkan UMNO dan mahukan UMNO diharamkan agar tiada lagi parti yang menjadi pesaing utama dalam arena politik di negara ini.
“Sekali pun UMNO berjaya dikuburkan, harus diingat semangat perjuangan Melayu tetap hidup dalam diri pemimpin dan penyokong UMNO,” katanya. – UTUSAN ONLINE











