RASAH – Pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan di Bukit Tangga dekat sini pada 23 Mei lalu hingga menyebabkan seorang pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang maut dan 27 penumpang cedera dihadapkan di Mahkamah Majistret Khas Trafik Seremban di sini hari ini.
Tertuduh, Othman Iberahim, 51, mengaku tidak bersalah di mahkamah itu terhadap satu pertuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan satu kematian dan lapan pertuduhan memandu secara tidak cermat hingga menyebabkan kecederaan.
Dia yang beralamat di Jalan Peel, Kuala Lumpur dituduh menyebabkan kematian Muhammad Firdaus Syahrul Azam, 17, mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dia juga dituduh menyebabkan kecederaan kepada lapan penumpang bas yang dipandunya itu mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987.
Para penumpang itu terdiri daripada R. Mahendran, 15; Iman Danial Abdullah, 17; Nur Aina Syazwani, 17; R. Janagan, 16; K. Sharveswary, 15; Nurin Ainun Nabilah Fauji, 17; Nurul Farah Izzati, 17, dan Nur Anis Nabilah, 17.
Othman dituduh melakukan kesalahan itu ketika memandu bas milik MyBas Cityliner dengan nombor pendaftaran NDC 2629 di Jalan Pantai-Bukit Tangga dekat sini kira-kira pukul 3.30 petang 23 Mei lalu.
Pendakwaan dijalankan oleh Rahimah Abd. Majid dan Sharifah Amirah Syed Ahmad Yunus di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.
Ketika mengemukakan rayuan, Othman yang menggunakan kerusi roda dan tidak diwakili peguam pada prosiding hari ini memohon jaminan dikurangkan kerana kecederaan dialami dalam kemalangan itu belum pulih dan dia tidak mempunyai kemampuan membayar wang jaminan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 untuk tuduhan menyebabkan kematian dan RM2,000 bagi setiap pertuduhan menyebabkan kecederaan menjadikan jumlah keseluruhan jaminan sebanyak RM22,000.
Norzaliza juga menetapkan 19 Julai ini untuk sebutan bagi serahan dokumen serta membolehkan tertuduh melantik peguam. – UTUSAN ONLINE











