PARIS – Pemain England meraikan kejayaan mereka menundukkan Scotland dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia Wanita dengan bergembira di pantai sebelum kembali menjalani latihan sebelum menentang Argentina pada 14 Jun ini.
Sepakan penalti Nikita Parris dan jaringan Ellen White memastikan Lionesses meraih tiga mata penting dalam perlawanan itu.
Bagaimanapun, pengendali pasukan, Phil Neville bimbang dengan prestasi kurang meyakinkan selepas mereka bolos satu gol pada separuh masa kedua perlawanan pertama itu.
Selepas pertemuan itu, beberapa pemain termasuk Karen Bardsley, Rachel Daly, Leah Williamson dan Carly Telford meluangkan masa untuk mandi manda di kawasan pantai berhampiran Nice.
Sementara itu, beberapa pemain lain termasuk kapten, Steph Houghton dan pertahanan kanan, Lucy Bronze menikmati mandian ais untuk mempercepatkan proses pemulihan.
Skuad kendalian Neville kemudian menjalani sesi latihan di Stade Charles-Ehrmann dengan kehadiran pertahanan kiri, Demi Stokes yang tidak beraksi ketika menentang Scotland selain penjaga gawang berusia 19 tahun, Ellie Roebuck yang tiada dalam senarai pasukan itu.-AGENSI










