KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motosikal yang dinaiki bersama rakannya terlibat dalam nahas dengan sebuah kereta di Kampung Wakaf Baru, Gong Badak di Kuala Nerus malam tadi.
Muhammad Hakim Hasbullah, 16, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Gong Badak meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, rakannya yang berusia 18 tahun turut mengalami kecederaan.
Sebelum kejadian, kedua-dua sahabat yang dari arah Batu Enam itu dikatakan membuat pusingan U namun setibanya di lokasi, motosikal yang dinaiki mereka dipercayai dilanggar sebuah kereta dari belakang.
Keadaan kawasan itu yang gelap menyebabkan pemandu kereta berkenaan yang dari arah Gong Badak gagal mengelak mangsa lalu melanggar motosikal mereka.
Akibat rempuhan itu, kedua-keduanya dikatakan tercampak ke jalan raya manakala motosikal diseret kereta berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian. – UTUSAN ONLINE











