DUNGUN 14 Jun – Seorang pelajar Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) maut selepas kereta yang dipandu abangnya terlibat kemalangan di Kilometer 64, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini petang semalam.

Mangsa, Ahmad Syaqiq Balkhi Ahmad Fauzi, 16, dari Kampung Batu Tiong di sini meninggal dunia kira-kira pada pukul 7.30 petang ketika menerima rawatan di Hospital Dungun setelah dua jam bertarung nyawa akibat kecederaan parah yang dialami.
Manakala, abangnya, Ahmad Baihaqi Fathi, 18, pula hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, nahas kira-kira pukul 5 petang itu dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Vios dipandu abang mangsa hilang kawalan setibanya di lokasi kejadian.
Katanya, dua beradik berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke rumah mereka.
“Ketika dalam perjalanan kereta yang dinaiki mangsa terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar sebatang tiang Telekom Malaysia (TM) serta pagar sebuah rumah tumpangan.
“Mangsa yang cedera parah kemudian dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Dungun, namun disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Baharudin, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE











