KUALA LUMPUR- Polis akan menghantar sepasukan pegawai bagi mengumpul maklumat berhubung penahanan enam warga Malaysia yang terbabit dengan penyeludupan dadah menggunakan kapal layar mewah di Jakarta Utara pada 4 Jun lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, beliau telah menghubungi pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kes ini.
“Saya boleh sahkan memang kesemua suspek warga negara ini dan kebanyakannya berasal dari Johor.
“Tangkapan dilakukan secara berasingan selepas mereka didapati telah mendarat dan dadah jenis syabu seberat 37 kilogram itu turut berjaya dibawa keluar dari kapal,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Cheras di sini hari ini.
Media semalam melaporkan polis Indonesia menemukan dadah jenis syabu seberat 37 kilogram dalam kapal layar Carron Layner, yang berlabuh di Dermaga Batavia Sunda Kelapa, Jakarta Utara kira-kira pukul 9.30 malam pada Selasa lalu.
Menurut Direktor Jabatan Siasatan Jenayah Polis Indonesia Krisno Siregar, kapal itu dipercayai belayar dari Johor ke Jakarta pada hari yang sama.
Lima suspek rakyat Malaysia yang ditahan itu berasal dari Johor, manakala seorang lagi berasal dari Perak dan dadah berkenaan dipercayai berasal dari Myanmar.- UTUSAN ONLINE











