KUALA LUMPUR – 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Op Serkap dan Op Gegar di sekitar Taman Perindustrian Belmas Johan, Rawang, pada Rabu lalu.
Operasi bermula pada pukul 7.30 malam itu disertai 18 orang pegawai imigresen dari Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa melakukan serbuan di dua buah premis berbeza iaitu di kedai gambar dan pusat refleksologi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Mohamad Fauzi Md. Isa berkata, hasil pemeriksaan di dua premis tersebut pihak imigresen berjaya memberkas sebanyak 10 orang pendatang asing.
“Kami menahan tiga warga Bangladesh, empat warganegara Vietnam dan tiga orang daripada Indonesia.
“Semasa serbuan dilakukan ada cubaan untuk melarikan diri namun gagal setelah anggota penguat kuasa terlebih dahulu melakukan kepungan awal sekitar premis tersebut,” katanya dalam kenyataan tersebut di sini, hari ini.
Tambah Fauzi, ada sebahagian daripada warga asing terbabit yang bertindak agresif dengan memukul pegawai imigresen menggunakan kasut tumit tinggi.
Jelasnya, pihak imigresen merampas dua buah komputer, dua buah mesin pencetak, pemotong kad, kamera refleksi lensa tunggal digital (DSLR) dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk memalsukan dokumen.
“Hasil daripada siasatan mendapati warga Bangladesh yang memproses dan menyediakan dokumen imigresen palsu iaitu i-kad dibayar pada harga RM200 dikeluarkan dalam tempoh 20 minit manakala pelekat pas lawatan kerja sementara (PLKS) berharga RM300 mengambil masa sehari untuk disiapkan.
“Bagi mengelakkan identiti mereka diketahui umum, sindiket tersebut hanya berurusan dengan pelanggan tetap mereka sahaja,” ujarnya.
Menurut Fauzi, antara kesalahan yang didapati ialah menggunakan atau memiliki pas atau dokumen yang dipalsukan, tiada pengenalan diri dan tinggal lebih masa,
“Kesemua suspek akan dibawa ke Pusat Tahanan Imigresen Putrajaya dan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – K! ONLINE











