PUTRAJAYA- Sebuah pasukan petugas khas baharu akan ditubuhkan bagi mendapatkan semula aset-aset berkaitan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di luar negara yang bernilai hampir RM20.74 bilion.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, pasukan berkenaan akan ditubuhkan di bawah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC).
Beliau berkata, pasukan khas tersebut juga akan mendapat kerjasama Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara.
“SPRM sudah dapat kenal pasti aset-aset yang perlu kita dapatkan semula dari luar negara dan pasukan tugasan khas ini perlu kerana ini merupakan satu tugas yang agak rumit.
“Jadi, kita dalam perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan dan kita sedang berusaha mengesan pergerakan aliran wang selain berbincang mengenai hal perundangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang akhbar berhubung tindakan undang-undang terkini 1MDB di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azam berkata, aset-aset tersebut dikenal pasti bukan sahaja di Amerika Syarikat (AS) malah di beberapa buah negara luar lain, namun beliau tidak menamakan negara tersebut.
“Negara luar ada proses perundangan yang perlu dipatuhi dan ini memerlukan perbincangan lanjut m. Kita tidak boleh menggunakan undang-undang di negara ini dalam mendapatkan semula aset-aset itu,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai berlian merah jambu, Azam berkata, aset-aset itu bukan sahaja melibatkan berlian merah jambu itu tetapi melibatkan banyak lagi aset lain yang berada di luar negara. – UTUSAN ONLINE











