KUALA LUMPUR – Dua warga emas nyaris maut selepas rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Penrissen, Batu 9, Kuching awal pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden tersebut pada pukul 1.25 pagi dan mengejarkan dua pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dan BBP Siburan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kediaman setingkat jenis tidak kekal yang musnah 100 peratus.
“Ketika kejadian, terdapat dua orang penghuni rumah yang merupakan pasangan suami isteri warga emas berusia lingkungan 70-an,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, akibat insiden kebakaran tersebut, mangsa lelaki melecur di bahagian tangan manakala isterinya mengalami trauma.
“Mangsa lelaki yang melecur dihantar oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Batu Lintang ke Hospital Umum Sarawak manakala mangsa wanita turut dihantar oleh orang awam ke hospital.
“Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah kereta dan sebuah motosikal,” ujarnya.
Tambahnya, api berjaya dikawal pada pukul 1.45 pagi dan operasi itu ditamatkan pada pukul 2.50 pagi. – UTUSAN ONLINE











