ALOR SETAR – Pas negeri ini mempersoal tindakan Parti Amanah Negara (Amanah) yang akan menganjurkan program mengenang bekas presiden parti itu, Allahyarham Datuk Fadzil Noor, yang dijadual pada 22 Jun depan.
Difahamkam program tersebut yang diberi nama Malam Kenangan Almarhum Ustaz Fadzil Noor itu akan diadakan di Kafe Ikhwan, berhadapan Masjid Al-Muttaqin, Bandar Darul Aman, Jitra.
Program berkenaan bakal menampilkan pemimpin-pemimpin Amanah seperti Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi; Dr. Muhaimin Sulam dan anak Allahyarham Fadzil; Muhammad Faiz yang juga merangkap Timbalan Ketua Pemuda parti itu.
Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Sanusi Mohd. Nor dalam status Facebooknya di sini hari ini mempersoal mengapa Amanah mengenang presiden parti lain.
Dalam masa sama, beliau turut mengesyorkan agar Amanah mengenang pemimpin parti lain khususnya bekas-bekas pemimpin DAP.
Mudah-mudahan kata Muhammad Sanusi, dalam tempoh 10 tahun akan datang, DAP pula akan mengenangkan pemimpin Amanah.
“Kenangilah pendirian Almarhum ustaz Fadzil Noor pada 2001 apabila DAP mengancam untuk meninggalkan Barisan Alternatif (BA) jika Pas meneruskan hasrat menegakkan negara Islam, melaksanakan syariat Islam di Malaysia.
“Almarhum ustaz Fadzil langsung tidak berganjak. Akhirnya DAP keluar daripada BA pada 21 September 2001.
“Itulah dasar dan prinsip perjuangan Pas dan Presidennya, Fadzil Noor hingga ke hujung hayat bila berdepan dengan DAP. Istiqamah,” katanya.- UTUSAN ONLINE











