Pagar besi: Kerajaan negeri Kedah amal sikap ‘double standard’ VIP, rakyat - Utusan Malaysia

Pagar besi: Kerajaan negeri Kedah amal sikap ‘double standard’ VIP, rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 16 Jun – Pemuda UMNO negeri melahirkan rasa kesal atas sikap ketidakprihatinan kerajaan negeri yang meletakkan pagar besi pemisah antara orang kenamaan (VIP) dan rakyat jelata semasa menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri 2019 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, semalam.

SYED MOHD. JOHAN RIZAL SYED UNAN MASHRI

Ketua Penerangannya, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, perkara itu menyebabkan ada dalam kalangan orang ramai dan kanak-kanak yang mahu bersalaman dengan VIP terpaksa berbuat demikian di sebalik pagar besi tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, jika atas faktor keselamatan sekali pun, perkara sedemikian tidak sewajarnya dilakukan, malah pihaknya yakin penduduk negeri ini memahami batas-batas semasa bersama VIP.

“Ini jelas menggambarkan sikap ‘double standard’ kerajaan negeri terhadap rakyatnya iaitu apabila golongan bawahan perlu dipisahkan daripada VIP.

“Pengalaman kerajaan negeri lalu dalam menganjur dan menghadiri jamuan peringkat negeri dan kebangsaan, perkara itu (meletakkan pagar besi pemisah) tidak pernah berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam majlis sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar tahun lalu, kerajaan negeri dikritik apabila mengenakan cop pada tangan kanak-kanak yang dikatakan untuk mengelak daripada golongan itu mengambil lebih duit raya.

Bagaimanapun kerajaan negeri menafikan perkara itu sebaliknya menyatakan bahawa ia bertujuan menceriakan kanak-kanak.

Dalam pada itu, Syed Mohd. Johan turut kecewa apabila penganjuran majlis jamuan hari raya pada semalam, juga gagal menyediakan makanan yang mencukupi sehingga ramai yang terpaksa pulang tanpa menjamah makanan atau minuman.

“Kerajaan negeri membuat promosi untuk menggalakkan rakyat hadir seramai mungkin yang sudah tentu memberi gambaran bahawa rakyat menyokong kerajaan sekarang.

“Namun apabila dijemput tetapi tidak menyediakan hidangan secukupnya, maka ia adalah sesuatu yang amat memalukan,” ujarnya.

Malah beliau turut difahamkan kos penganjuran majlis tersebut tidaklah serendah seperti mana yang digambarkan di dalam ucapan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

“Kos (penganjuran) yang tinggi tetapi malangnya makanan pula tidak mencukupi. Janganlah menyalahkan orang ramai yang kononnya ada yang ambil banyak atau bungkus kerana perkara itu sepatutnya sudah dijangka.

“Namun saya percaya sebahagian besar rakyat bukanlah hendak bungkus (bawa balik makanan) tetapi untuk memeriahkan majlis kerana dijemput kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini