KANGAR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan menggesa Otai Reformis 1998 supaya tidak gelojoh mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempercepatkan proses peralihan kuasa.
Katanya, tidak ada sesiapa menafikan bahawa peralihan kuasa Perdana Menteri akan berlaku, namun pastikan terlebih dahulu agar asas negara ini dibina semula dengan kukuh agar transisi itu nanti berlaku dengan baik.
“Jika proses membina semula negara itu dirosakkan oleh mereka yang tidak sabar dan jika seterusnya ini menyebabkan proses transisi tidak lancar atau terus gagal, maka golongan yang gelojoh inilah yang wajar dipersalahkan,” katanya di sini hari ini.
Semalam, kumpulan pendesak Otai Reformis 1998 yang diketahui umum merupakan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Dr. Mahathir menyerahkan segera jawatan kepada Presiden PKR itu.
Pengerusinya, Dr. Idris Ahmad dilaporkan berkata, ketidaktentuan peralihan kuasa di antara kedua-dua pemimpin tersebut telah menjadi polemik dalam kalangan rakyat malah boleh menjejaskan kepercayaan pelabur asing untuk melabur di negara ini.
Sebagai maklum balas terhadap kenyataan tersebut, beberapa pemimpin Bersatu menggesa kumpulan terbabit supaya berhenti daripada terus mendesak Dr. Mahathir mempercepatkan proses peralihan kuasa.
Antaranya, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof yang berkata, desakan seumpama itu, malah sehingga mengugut untuk turun semula ke jalanan sekiranya Dr. Mahathir gagal mengotakan janji sepatutnya tidak berlaku.
Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari pula menyifatkan, kenyataan Otai Reformis semalam adalah dengan cuma satu agenda iaitu menumbangkan Dr. Mahathir bagi tujuan memberi keuntungan politik kepada pihak tertentu.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pula menasihatkan supaya kumpulan berkenaan agar ‘duduk diam-diam’ dan tidak kalut dalam isu penyerahan kuasa tersebut dan menegaskan Otai Reformis 1998 seharusnya berganding bahu dalam memulihkan semula kerosakan negara oleh kerajaan terdahulu.
Sementara itu, Wan Saiful berkata, dalam disiplin berorganisasi Islam, telah diajar agar jangan menjadi golongan ‘musta’jilun’ atau gelojoh.
“Sebaliknya dalam mengusahakan reformasi, sikap yang lebih baik ialah ‘tadarruj’ atau melakukan perubahan secara berperingkat dan tersusun,” katanya. – UTUSAN ONLINE











