JOHOR BAHRU – Seramai 51 Orang Asli Seletar dari Kampung Orang Asli Kuala Masai memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung isu pampasan tanah mereka yang masih tertangguh sejak 2010.
Mereka hadir di Mahkamah Tinggi di Menara Cyberport dengan diketuai oleh Kelah Lah, 38, dan Khalip Bachik, 57, serta diwakili peguam, Tan Poh Lai.
Orang Asli Seletar itu yang dipindahkan dari perkampungan asal di Stulang Laut ke Kampung Orang Asli Kuala Masai sebelum ini berjaya dalam saman pemula yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi, di sini, terhadap tiga defendan pada 2008 iaitu Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Ketua Pengarah Hal Ehwal Orang Asli.
Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 September 2010, semua plaintif perlu dibayar pampasan mengikut Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 iaitu pengambilan balik yang salah di sisi undang-undang dan pampasan itu perlu ditaksir oleh Pentadbir Tanah Johor Bahru.
Poh Lai yang ditemui pemberita selepas memfailkan permohonan berkenaan pada 9 pagi tadi berkata, mereka memohon perintah mandamus bagi mengarahkan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor selaku responden pertama melaksanakan penaksiran tanah itu selaras dengan akta dan perintah terbbait.
Beliau memberitahu, Hakim Mahkamah Tinggi, See Mee Chun membenarkan permohonan kesemua Orang Asli terbabit untuk membuat semakan kehakiman itu, namun, satu tarikh akan ditetapkan kemudian bagi perbicaraannya. – UTUSAN ONLINE.











