GUA MUSANG – Lebih 300 penduduk suku kaum Batek, di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini bersyukur apabila disahkan bebas daripada penyakit jangkitan paru-paru.
Kampung Pasir Linggi merupakan salah satu daripada tiga penempatan suku kaum Orang Asli Batek di daerah ini yang terletak hampir 90 kilometer dari bandar Gua Musang.
Tinjauan mendapati, semua penduduk telah membuat saringan kesihatan pada Khamis lalu kerana bimbang dengan penularan penyakit itu apabila penduduk Orang Asli Kuala Koh kerap berkunjung ke kampung itu sebelum ini.
Penghulu Kampung Pasir Linggi, Ramli Bebas berkata, seramai 304 penduduk suku kaum Batek di kampung itu termasuklah kanak-kanak dan orang dewasa sudah membuat rawatan saringan yang dilakukan Jabatan Kesihatan negeri.
Katanya, buat masa ini penduduk memilih tidak melawat rakan dan saudara mara di Kampung Kuala Koh sehinggalah dibenarkan pihak berkuasa.
“Sebelum ini terdapat kira-kira 14 murid Orang Asli dari Kampung Kuala Koh yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi juga tidak hadir ke sekolah.
“Pada mulanya, kami sebagai ibu bapa di kampung bimbang juga dengan jangkitan penyakit itu kerana anak-anak di dua kampung itu bergaul rapat di sekolah,” katanya ketika ditemui di sini hari.
Seorang lagi penduduk, Roslan Ariffin, 25, pula berkata, walaupun penduduk kampung itu bebas dijangkiti penyakit berkenaan mereka tetap berhati-hati.
Katanya, sekiranya ahli keluarga mengalami simptom demam dan batuk, mereka akan terus merujuk ke klinik terdekat iaitu Klinik Kesihatan Manek Urai dan Hospital Kuala Krai.
“Kita simpati dengan nasib penduduk di Kampung Kuala Koh kerana ramai yang mati dan sakit dipercayai dijangkiti kuman pada paru-paru. – K! ONLINE
“Kita bersyukur apabila Jabatan Kesihatan kerap masuk membuat pemantauan kesihatan dan memberi bekalan ubat-ubatan kepada penduduk di kawasan ini,” katanya. – K! ONLINE











