Orang Asli Kuala Koh: Pencarian mayat 12 Orang Asli dijangka makan masa - Utusan Malaysia

Orang Asli Kuala Koh: Pencarian mayat 12 Orang Asli dijangka makan masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Pencarian lokasi 12 mayat Orang Asli suku Batek, yang didakwa dikebumikan di dalam hutan tanpa membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa, dijangka memakan masa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, kesemua 12 mangsa dikatakan meninggal dunia akibat ‘penyakit misteri’ sejak sebulan lepas tidak dikebumikan di Kampung Kuala Koh dan dibawa keluar dari kawasan perkampungan tersebut oleh anggota keluarga mereka.

“Apa yang diketahui mayat berkenaan dikebumikan atau ditempatkan di kawasan lain jauh ke dalam hutan, namun polis bersama agensi lain akan berusaha untuk mengesan lokasi kubur berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Operasi sebegini adalah sukar dan sudah pasti memakan masa yang panjang, kerana mayat dikatakan sudah dibawa keluar jauh daripada kampung oleh ahli keluarga mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata, polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Kementerian Kesihatan, dijangka memulakan operasi pencarian itu dalam masa terdekat.

Katanya, polis akan cuba mengenal pasti lokasi mayat dikebumikan terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan termasuk menggali semula kubur mangsa.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya bersama agensi lain akan cuba mengenal pasti lokasi 12 mayat Orang Asli yang dikatakan dikebumikan selepas mati akibat penyakit yang tidak dapat dipastikan, untuk menjalankan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mereka.

Suku Orang Asli Batek di Kelantan mula mendapat perhatian umum selepas dua orang daripada suku itu meninggal dunia dipercayai akibat radang paru-paru bermula awal bulan lepas. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini