Orang Asli Bateq nekad kembali ke ‘gound zero’ - Utusan Malaysia

Orang Asli Bateq nekad kembali ke ‘gound zero’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Kira-kira 60 keluarga Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, di sini kembali ke kediaman masing-masing biarpun ‘misteri’ penularan penyakit radang paru-paru yang melanda penempatan mereka termasuk punca sebenar belum terungkai.

Difahamkan, kumpulan yang terselamat daripada krisis kesihatan terbabit mula pulang ke kediaman mereka yang sebelum ini dianggap sebagai ‘ground zero’ atau lokasi terawal penularan penyakit sejak pagi ini.

Sebelum ini, mereka dilaporkan bertindak mengosongkan kampung tersebut beramai-ramai, lebih seminggu lalu kerana khuatir terkena ancaman penyakit sama yang mengorbankan 14 nyawa rakan dan saudara-mara mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka dikatakan berpindah dari situ dan mendirikan pondok kecil di beberapa lokasi lain di sepanjang tebing Sungai Pertang.

Tinjauan petugas media di kawasan diisytihar sebagai ‘zon merah’ itu petang ini mendapati, rata-rata penduduk di situ berpendapat keadaan sudah kembali selamat selain yakin bekalan air sebagai kemudahan asas paling diperlukan mereka selamat digunakan.

Salah seorang penduduk, Kulim Tebu, 42, memberitahu, di samping bimbang keselamatan diri, mereka sebelum ini bertindak meninggalkan rumah kerana terputus bekalan air bersih.

“Sekarang, kami yakin keadaan kembali pulih. Kami juga sudah mempunyai bekalan air bersih yang selamat digunakan untuk masak dan minum.

“Sebab itu kami berani pulang walaupun punca sebenar penyakit belum diketahui,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Kulim, penduduk di situ kini mempunyai tiga sumber bekalan air utama yang terjamin kebersihannya iaitu melalui tangki yang dibekalkan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), air tandak (tadahan bukit) dan air telaga tiub.

Sementara itu, Mamat Pokok, 31, berkata, mereka mendiami rumah sumbangan kerajaan sejak lima tahun lalu di kampung itu dan mengakui berasa selesa tinggal di situ.

“Air adalah sebab utama kami berani kembali ke kampung. Kami yakin air yang dibekakan selamat untuk kegunaan harian.

“Cuma kami harap kerajaan pertimbangkan untuk bekalkan kami elektrik pula. Bertahun lamanya kami hidup dalam gelap kerana tiada bekalan elektrik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini