JOHOR BAHRU – Seramai 23 wanita warga asing diselamatkan daripada sindiket pelacuran menerusi serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sebuah premis di Jalan 8/2, Taman Nusa Bestari, Skudai, di sini malam tadi.
Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 11.30 malam, polis berjaya menyelamatkan 15 wanita warga Vietnam dan lapan wanita Thailand berusia lingkungan 15 hingga 39 tahun.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner, Dzulkhairi Mukhtar berkata, Ops Pintas yang turut disertai pegawai dan anggota D7 Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menahan lima suspek termasuk seorang warganegara Zambia.
“Op Pintas yang dijalankan itu berjaya menyelamatkan 23 wanita warga asing daripada sindiket pelacuran. Kesemua mangsa akan dipohon perintah perlindungan interim (IPO) di mahkamah hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzulkhairi berkata, dalam serbuan tersebut, polis merampas 443 keping kondom, tiga botol minyak pelincir, dua helai tuala mandi, dua gulung tisu, kertas catatan rekod kerja mangsa, wang tunai RM27,406, wang tunai SG$420 (RM1,280), tujuh unit telefon bimbit dan sebuah kereta Mercedes-Benz.
Katanya, hasil siasatan mendapati sindiket tersebut sudah beroperasi kira-kira tiga tahun yang lalu. – UTUSAN ONLINE










