Oh! PLUS, carilah penyelesaian - Utusan Malaysia

Oh! PLUS, carilah penyelesaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAN tahun inilah yang berlaku apabila menjelang musim Hari Raya Aidilfitri. Isu yang tidak pernah selesai. Isu yang sering dihadapi oleh warga kota setiap kali pulang ke desa atau ketika kembali ke ibu kota selepas cuti hari raya.

Isunya ialah masalah kesesakan khususnya di lebuh-lebuh raya utama. Antara paling ketara Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Mujurlah pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini jatuh pada minggu kedua cuti sekolah. Setidak-tidaknya ibu bapa sudah boleh merancang waktu paling sesuai untuk pulang ke kampung bagi mengelakkan kesesakan. Sungguhpun begitu kesesakan masih berlaku di saat-saat warga kota mula pulang ke kampung sama ada ke arah utara, selatan tanah air mahupun Pantai Timur.

Namun masalah kesesakan luar biasa mula menghantui warga kota apabila mereka beransur-ansur pulang ke Kuala Lumpur untuk kembali bekerja, pada masa sama sekolah turut dibuka. Dilaporkan kesesakan paling teruk bermula pada hari Sabtu, Ahad dan Isnin lalu sama ada dari Pantai Timur ke Kuala Lumpur mahu pun dari utara dan selatan tanah air ke Kuala Lumpur.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ada yang terperangkap dalam kesesakan berbelas-belas jam. Sebagai contoh dari Kelantan ke Kuala Lumpur biasanya mengambil masa enam ke lapan jam tetapi pada musim perayaan kali ini ada yang memandu sehingga 15 jam.

Begitu juga perjalanan antara Pulau Pinang ke Kuala Lumpur yang secara normalnya mengambil masa empat hingga lima jam, pada musim perayaan kali ini ada yang terpaksa memandu selama 13 jam. Bayangkan bagaimana teruknya kesesakan yang berlaku di lebuh raya PLUS dari arah Utara ke Kuala Lumpur ketika itu.

Termasuk juga perjalanan dari Permatang Pauh ke Bukit Beruntung yang dikatakan mengambil masa sehingga 11 jam. Tidak terkecuali beberapa lokasi di bahagian utara khususnya di Perak yang mengambil masa kira-kira 10 jam untuk sampai ke Kuala Lumpur.

Apa yang boleh kita katakan perjalanan dalam sesak sebegini amat menyeksakan. Difahamkan ada ketikanya pergerakan kenderaan hanya pada kelajuan sekitar antara 30 hingga 40 kilometer sejam (km/j).

Malah ada sehingga ke peringkat bumper to bumper dan paling parah kenderaan langsung tidak bergerak. Itu yang mendorong segelintir pengguna lebuh raya berusaha mencari jalan alternatif di pekan atau bandar berhampiran dengan harapan perjalanan akan lebih lancar.

Itu pun nasib. Jika tidak bernasib baik mereka tetap akan berhadapan dengan masalah kesesakan kerana sebahagian besar jalan Persekutuan hanya menyediakan dua lorong berbanding lebuh raya antara empat ke lapan lorong.

Kisah penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob adalah antara yang mencuri perhatian netizen dan orang ramai ekoran penutupan kawasan rawat dan rehat (R&R) Sungai Perak. Disebabkan penutupan R&R tersebut isterinya, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz terpaksa `melepaskan hajat’ dalam semak. Kejadian itu berlaku Ahad minggu lalu.

Fazley ketika itu dalam perjalanan pulang ke ibu kota dari Pulau Pinang. Beliau sekeluarga terpaksa menempuh perjalanan selama 13 jam. Menurut Fazley, bukan isterinya sahaja malah perkara sama turut dilakukan oleh pengguna lebuh raya yang lain.

PLUS dalam satu kenyataan balas berhubung insiden itu menyatakan bahawa langkah penutupan itu adalah untuk mengelakkan kesesakan ketika musim perayaan Aidilfitri. Penulis kurang arif rasionalnya pihak PLUS menutup R&R itu. Alasan mereka adalah untuk membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar. Mungkin ya.

Apa pun PLUS dalam hal ini sepatutnya mempunyai pelan kontigensi bagi menampung keperluan jutaan pengguna lebuh raya pada musim perayaan termasuk soal `lepaskan hajat’. Ini bukan perkara baharu sebaliknya sering berlaku saban tahun.

Yang pasti, kesesakan tetap berlaku khususnya pada musim perayaan dan keputusan menutup R&R tertentu adalah sesuatu yang jelas menyusahkan para pengguna. Sudah pasti PLUS boleh menjangkakan kadar penggunaan tandas ketika itu yang mana jumlahnya sudah pasti berlipat kali ganda berganda. PLUS harus sedar pengguna seperti Fazley bukan menggunakan lebuh raya tersebut percuma.

Dengan kata lain setiap pengguna berhak mendapat perkhidmatan terbaik daripada PLUS kerana mereka membayar tol. Atas faktor itu, penulis amat bersetuju dengan saranan Fazley agar pihak PLUS menye­diakan lebih banyak tandas bergerak di semua R&R termasuk di stesen-stesen minyak sepanjang lebuh raya.

Penulis percaya sepanjang musim perayaan ini puluhan juta ringgit dikutip dan seharusnya ada bahagian yang dikembalikan semula demi kebajikan pengguna.

Seperkara lagi tentang diskaun 20 peratus tol PLUS. Sepatutnya ia tidak hanya dinikmati pada hari raya pertama, sebaliknya diskaun tol tersebut perlu bermula dua hari sebelum hari raya dan hari-hari puncak warga kota pulang untuk kembali bekerja.

Bagi penulis ini adalah situasi menang-menang memandangkan mereka terpaksa menempuh perjalanan dalam kesesakan yang amat luar biasa. Penyeksaan yang dialami oleh pengguna ini perlu diambil kira antaranya kesukaran untuk `melepaskan hajat’ di tempat yang disediakan. Termasuk juga kesukaran untuk menunaikan solat. Itu belum lagi dikira pengguna-pengguna yang membawa bersama bayi dan orang tua. Sudah tentu cabarannya lebih hebat lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini