NPC dihidupkan semula, pacu agenda produktiviti negara - Utusan Malaysia

NPC dihidupkan semula, pacu agenda produktiviti negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju menghidupkan semula Majlis Produktiviti Negara (NPC) bagi menetapkan panduan dan hala tuju strategik serta memacu agenda produktiviti negara secara menyeluruh.

Menurut Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), keanggotaan NPC akan disusun semula supaya keahliannya terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan berkepakaran untuk mengenal pasti isu dan masalah produktiviti di semua peringkat.

“Jawatankuasa Eksekutif (Exco) EAC telah ditubuhkan untuk memandu analisis ke atas isu semasa yang dikenal pasti dan mengemukakan cadangan penyelesaian untuk pertimbangan EAC,” jelasnya dalam satu kenyataan sempena Mesyuarat EAC Bil. 3/2019 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut EAC, Exco diketuai oleh Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan dianggotai beberapa ahli EAC.

Exco akan berunding dengan semua pemegang taruh, jelasnya.

“Kerajaan mengutamakan langkah segera bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi, memastikan pembangunan yang mampan dan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama oleh seluruh rakyat.

“Keutamaan ini selaras dengan agenda kemakmuran bersama yang diperkenalkan baru-baru ini, yang juga merupakan tunjang EAC melalui usaha meningkatkan kesaksamaan dan kesejahteraan di kalangan semua rakyat Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, EAC memaklumkan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telahpun memulakan proses penywdiaan pelan pembangunan negara, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang berpaksikan agenda kemakmuran bersama.

” Sesi libat urus bersama pelbagai pihak sedang dan akan dilaksanakan bagi menentukan pelan pembangunan tersebut yang bersifat menyeluruh dan mencapai matlamat,” tambah EAC lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini