Sempena Bulan Kesedaran Autisme baru-baru ini, Nestle Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) menceriakan 50 kanak-kanak dalam sesi sukaneka. Program itu adalah sebahagian daripada Program Sukarelawan Kakitangan Nestle Malaysia iaitu Nestle ROCKS (Reaching Out to Community and Kids).
Program yang dijalankan bersama sukarelawan Nestle yang lebih mesra dikenali sebagai ROCKers bertujuan menggalakkan kanak-kanak terbabit menyertai aktiviti yang menyeronokkan serta membantu meningkatkan integrasi sensori, komunikasi dan kemahiran interaksi sosial mereka.
Sesi sukaneka itu meliputi pelbagai aktiviti interaktif seperti permainan kerusi berirama dan permainan bola yang dipertingkatkan untuk menggalakkan kanak-kanak belajar menerusi pengalaman.
Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle Malaysia, Nirmalah Thurai, berkata, usaha menyokong masyarakat adalah sesuatu yang dekat di hati dan teruja kerana dapat bekerjasama dengan NASOM untuk menganjurkan program yang menyeronokkan bersama kanak-kanak berkenaan dan keluarga mereka.
“Kami gembira kerana berpeluang membantu meningkatkan kesedaran orang ramai. Matlamat kami adalah untuk memberi lebih kefahaman dan sokongan kepada masyarakat autistik,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi NASOM, Felina Feisol, berkata, pihaknya terharu melihat sebuah syarikat terkenal seperti Nestle Malaysia mencurahkan masa dan tenaga untuk menyokong perjuangan NASOM.
“Kanak-kanak ini seronok dapat berinteraksi dengan ROCKers Nestle dan aktiviti ini juga menyokong pembangunan peribadi dan kemahiran komunikasi serta meningkatkan keyakinan mereka. Kami harap dapat meneruskan kerjasama dengan Nestle Malaysia bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Selain sesi sukaneka, Nestle Malaysia menyumbangkan barangan bernilai RM13,000 kepada NASOM untuk keperluan pentadbiran mereka, termasuk mesin perlaminaan, papan putih dan projektor LCD. Nestle Malaysia juga menyumbangkan produk seperti Milo, Nestum dan bijirin sarapan Nestle.











