TEMERLOH – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini sebak ketika mengimbau kenangan bersama Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Sultan Abdullah juga perlu menghentikan beberapa kali titah ucapan baginda kerana kehilangan kata-kata, selain untuk mengesat air mata pada titah yang berkisar kepada jasa dan pengorbanan Almarhum Sultan Ahmad Shah sepanjang 45 tahun memerintah Pahang.
Baginda bertitah Almarhum ayahanda baginda begitu hebat dalam pelbagai bidang termasuk agama, pendidikan, kebajikan, ketenteraan dan sukan yang menjadi faktor mengapa baginda ‘menolak’ nama baginda dimasyhurkan pada masjid baharu di sini, yang dirasmikan baginda hari ini.
“Kerajaan negeri berhasrat memasyhurkan masjid ini dengan nama saya kerana mahu memberi penghormatan kepada saya sebagai sultan baharu, namun saya berpandangan nama saya adalah tidak sehebat atau segah nama Almarhum paduka ayahanda saya.
“Saya memasyhurkan masjid ini dengan nama Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan diharapkan rumah Allah ini akan menjadi kenangan abadi untuk memperingati pemerintahan dan jasa Almarhum,” titah baginda semasa berucap merasmikan masjid itu di sini, hari ini. – Bernama











