KUALA LUMPUR – Tiga lelaki berdepan detik cemas apabila kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Damansara, di sini pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7 pagi itu bagaimanapun menyebabkan seorang daripada mangsa mengalami patah kaki kiri.
“Kita mendapat panggilan kira-kira pukul 7 pagi sebelum sepasukan pegawan dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya sambil dibantu BBP Kota Anggerik tiba di lokasi kejadian 10 minit selepas itu.
“Operasi pemadaman dijalankan dan kereta didapati hangus 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Norazam, dua lagi mangsa yang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan dan kesemuanya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. – UTUSAN ONLINE











