Muktamar Pas: Akar umbi mahu pertahan hala tuju Pas - Utusan Malaysia

Muktamar Pas: Akar umbi mahu pertahan hala tuju Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi termasuk di peringkat sayap-sayap parti semasa Muktamar Tahunan Pas Ke-65 di Pahang 21 Jun depan, menunjukkan ahli-ahli menyokong penuh hala tuju Pas pada masa ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, bukan sahaja di peringkat pusat malah di negeri-negeri juga menyaksikan pemimpin-pemimpin sedia ada dikekalkan.

Katanya, hal demikian membuktikan bahawa akar umbi sememangnya mahu mempertahankan hala tuju dan pendirian Pas pada masa ini termasuk dalam soal kerjasama serta taawun dengan UMNO.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau kita lihat pemilihan kali ini termasuk di negeri-negeri tidak ada pertandingan berlaku. Bukan sahaja bagi jawatan tertinggi seperti presiden dan timbalan, malah sayap-sayap juga menyaksikan tiada pertandingan.

“Situasi itu bermakna ahli-ahli ingin mempertahankan hala tuju yang dibawa oleh Pas sekarang termasuklah kerjasama Pas dan UMNO. Kalau tukar pemimpin, mungkin hala tuju juga berubah,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menang tanpa bertanding pada pemilihan parti itu sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-65 di Pahang pada 21 hinga 23 Jun ini.

Sehingga tarikh tutup pencalonan tiga minggu lalu, tiada yang menawarkan diri bertanding untuk dua jawatan tertinggi itu.

Bagi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, akan menampilkan muka baharu yang menang tanpa bertanding selepas penyandang sebelum ini, Muhammad Khalil Abdul Hadi tidak bertanding untuk jawatan berkenaan.

Begitu juga yang membabitkan jawatan Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, apabila penyandang sebelum ini, Nuridah Mohd. Salleh menang tanpa bertanding.

Sementara itu, Hashim berkata, muktamar kali ini turut dijangka berlangsung dalam suasana penuh harmoni dengan lebih tertumpu kepada pengukuhan akar umbi serta sokongan terhadap kerjasama Pas dan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya rasa tidak ada isu-isu panas akan berbangkit mengenai perpaduan ini (kerjasama Pas UMNO). Majoriti menyokong penuh kerjasama dua parti ini bagi berhadapan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini