KUANTAN – Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Kali Ke-59 bermula hari ini dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan merasmikannya sebentar lagi dalam persidangan yang dihadiri kira-kira 750 perwakilan di Bukit Gambang Resort City (BGRC) di sini.
Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh dijadual menyampaikan ucaptama pada pukul 9 pagi diikuti pelancaran derma jihad dan persembahan montaj.
Selepas itu, Abdul Hadi akan menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Kali Ke-59 yang bertemakan ‘Islam Memimpin, Wanita Sejahtera’.
Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian anugerah khas dan sidang muktamar dijadual bermula pada pukul 12 tengah hari hingga pukul 9 malam mengikut agenda yang telah diatur.
Sesi pengundian bagi pemilihan jawatankuasa Dewan Muslimat Pas berjalan serentak dengan sidang muktamar dan keputusannya dijangka diumumkan pada pukul 8.30 malam. – UTUSAN ONLINE











