Mukhriz didesak mohon maaf kepada Sultan Kedah, rakyat - Utusan Malaysia

Mukhriz didesak mohon maaf kepada Sultan Kedah, rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir didesak bertanggungjawab dan memohon maaf kepada seluruh rakyat negeri ini di atas layanan ‘double standard’ kerajaan negeri terhadap golongan itu apabila meletakkan pagar besi pemisah semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri 2019 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, Sabtu lalu.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO negeri, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, Mukhriz juga perlu memohon ampun dan maaf ke atas Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff kerana memisahkan baginda berdua dengan rakyat.

Menurut beliau, alasan diberikan Mukhriz iaitu tujuan meletakkan pagar besi pemisah tersebut adalah untuk tujuan keselamatan baginda berdua adalah tidak boleh diterima sama sekali.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jawapan Menteri Besar (isu keselamatan) menggambarkan bahawa beliau cuba berselindung di sebalik nama baik Sultan dan Sultanah Kedah.

“Beliau (Mukhriz) seolah-olah tidak faham tentang hati budi orang Kedah yang sentiasa kasih kepada rajanya dan meletakkan kemuliaan Raja dan Sultan pada tahap tertinggi selain menghina orang Kedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pemuda UMNO negeri sebelum ini kesal atas sikap ketidakprihatinan kerajaan negeri yang meletakkan pagar besi pemisah sehingga menyebabkan ada dalam kalangan orang ramai dan kanak-kanak yang mahu bersalaman dengan orang kenamaan (VIP) terpaksa berbuat demikian di sebalik pagar itu.

Mukhriz walau bagaimanapun menjelaskan bahawa pemasangan pagar besi pemisah itu adalah atas faktor keselamatan berikutan keberangkatan Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Dalam pada itu, Syed Mohd. Johan Rizal secara sinis berkata, selama ini, tidak pernah timbul soal keselamatan sehingga pihak kerajaan terpaksa memasang pagar besi pemisah, seakan-akan mewujudkan situasi ‘antara dua darjat’ pada mana-mana majlis dihadiri rakyat jelata.

Malah kata beliau, semasa jamuan hari raya di Istana Anak Bukit di sini baru-baru ini, yang dihadiri lebih 20,000 orang rakyat pelbagai bangsa, tiada sebarang pagar besi diletakkan di Anjung Kuala Cegar.

Katanya lagi, kanak-kanak bebas mengambil peluang untuk beraya dengan baginda serta kaum kerabat.

“Harus diingat bahawa rakyat Kedah terkenal dengan adab dan sopan santunnya terutamanya apabila Sultan dan Sultanah Kedah berangkat mencemar duli,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan Mukhriz dan Exco-exco kerajaan negeri agar mengambil berat tentang persediaan sebarang majlis penting, apatah lagi yang melibatkan keberangkatan Sultan dan Sultanah Kedah.

“Saya ingin bertanya, adakah Mukhriz selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) negeri dan para Exco mengambil sikap tidak ambil tahu tentang persediaan majlis sebelum berlangsung? Berhentilah daripada hanya menyalah pihak-pihak lain,” soalnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini