PETALING JAYA – Inisiatif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Liga Bola Sepak Amatur (AFL) untuk membantu pasukan-pasukan Liga M3 dengan melaksanakan proses pembayaran terus kepada pengadil perlawanan serta pembayaran separuh kos penerbangan ke Kuching, Sarawak disambut positif oleh pasukan yang bertanding.
Presiden Puchong Fuerza FC, Azrul Izwan Abdul Rahim menganggap langkah yang diambil itu sememangnya mampu meringankan beban kewangan sekali gus memberikan semangat baharu untuk mereka fokus kepada persiapan pasukan dengan lebih baik.
Puchong Fuerza sebelum ini tidak pernah mengalami masalah untuk membuat pembayaran terlebih dahulu kepada pengadil perlawanan dan ia adalah satu bonus apabila MFL akan terus menanggung pembayaran tersebut selepas ini.
Paling memberi kesan buat pasukan itu adalah pembayaran separuh kos penerbangan yang melibatkan perlawanan di Kuching, Sarawak di mana Azrul percaya banyak kelab dan pasukan bergelut untuk membayar sepenuhnya kos penerbangan ke sana sebelum ini.
Jelasnya, bantuan daripada MFL ini juga adalah tepat pada masanya apabila Puchong Fuerza bakal bertandang ke Kuching pada bulan hadapan bagi aksi menentang Kuching FA yang menjadi perlawanan pertama mereka di sana.
“Sememangnya inisiatif daripada MFL dan AFL ini amat meringankan beban kami kerana bukan senang untuk mencari peruntukkan bagi menguruskan pasukan.
“Bagi Puchong Fuerza, kami tiada masalah untuk mendahulukan wang kepada pengadil perlawanan kerana memang ia akan dibayar kembali kepada pasukan.
“Cuma pembayaran separuh koş penerbangan ke Kuching itu yang paling saya alu-alukan kerana kos sememangnya mahal kalau terbang ke sana dan apabila MFL ingin bayar separuh pun sudah lebih daripada mencukupi.
“Kalau boleh selepas ini tidak ada lagi yang cuba nak mengapi-apikan pasukan Liga M3 dan MFL kerana inisiatif seperti ini sudah membuktikan bahawa MFL sentiasa berusaha untuk membantu kelab yang bertanding dari masa ke semasa”, katanya.- UTUSAN ONLINE











