KOTA BHARU – Perancang tengah yang terkenal dengan hantaran ‘gelembung buaya’ (hantaran lambung mengelirukan), Mohd. Badhri Radzi mela belkan bekas majikannya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebagai zalim apabila enggan mengeluarkan surat pelepasan atau Sijil Perpindahan Negeri (SPN) bagi membolehkannya menyarung jersi Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC).
Bukan itu sahaja, Mohd. Badhri atau Piya perlu melupakan tunggakan gaji selama dua bulan untuk musim 2019 sekiranya mahu mendapatkan SPN jika mahu meneruskan kerier sebagai pemain bola sepak.
Piya berkata, ‘tawaran’ itu bukan sahajatidak masuk akal malah satu penghinaan buat dirinya yang melonjakkan nama Kelantan dalam arena bola sepak tempatan termasuklah antarabangsa.
“Surat persetujuan untuk menamatkan kontrak sudahpun diterima, namun bila nak bermain bersama pasukan baharu (KUFC), KAFA pula tak bagi.
“Sudahlah begitu, ada pula syarat kena potong dua bulan gaji,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Piya memberitahu, tindakan itu KAFA itu seolah-olah mahu menutup periuk nasinya sebagai pemain bola sepak.
Katanya, bola sepak adalah mata pencarian utamanya dalam menyara keluarga selain membayar rumah, kereta dan sebagainya.
Ujarnya, memburukan lagi keadaan tunggakan gaji musim 2018 masih dibayar satu sen pun bola badan induk bola sepak itu.
Anak kelahiran Kampung Atas Paloh merupakan antara tonggak utama yang membantu TRW menjulang kejuaraan trebel musim 2012.
Setahun berikutnya, pemain berjersi No. 16 itu dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) 2013 dalam saingan Liga Malaysia. – UTUSAN ONLINE











