Mengapa hidup bermasalah? - Utusan Malaysia

Mengapa hidup bermasalah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BILAKAH sebenarnya seseorang itu mula memahami bahawa kehidupan ini tidak dapat lari daripada masalah? Semasa zaman kanak-kanak, itulah saat paling bahagia. Lazimnya semua kanak-kanak `buat apa sahaja’ tanpa memikirkan tentang masalah yang bakal menimpa sekiranya melakukan sesuatu yang berbahaya. Minda kanak-kanak tidak ada `tapisan’ atau `pagar’ untuk membezakan perilaku yang baik dan buruk.

Seterusnya pada zaman awal remaja. Mereka juga masih belum benar-benar kenal dengan `masalah’ dalam kehidupan. Pada waktu itu segala kehendak perlu dipenuhi walaupun terpaksa mendesak ibu bapa. Masalah pada waktu itu adalah jika sesuatu yang dimahukan gagal diperoleh. Ketika itu tidak pernah memikirkan tentang masalah ibu bapa dalam menunaikan per­min­taan tersebut. Mungkin mereka berat untuk menunaikannya namun disebabkan kasih sayang kepada anak, ibu bapa usahakan juga.

Biasanya selepas melangkaui zaman akhir remaja iaitu selepas tamat pengajian dan sudah mula bekerja barulah seseorang itu mencapai tahap kematangan. Di saat itu barulah dia memahami bahawa hidup ini memang tidak dapat lari daripada masalah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hakikatnya, manusia akan merasai hidupnya bermasalah apabila dirinya mencapai tahap matang. Tahap kematangan manusia ada empat peringkat.

Pertama, manusia pada `tahap atlet’. Kedua, manusia pada `tahap pahlawan’. Ketiga, manusia pada `tahap dermawan’ dan keempat, manusia pada `tahap kesedaran ketuhanan’. Masalah akan bermula pada tahap pertama dan bertambah besar masalahnya apabila sampai ke tahap kedua.

Manusia yang hidup pada `tahap atlet’ sering berhadapan dengan masalah memandangkan hidup di peringkat ini terlalu berlumba untuk menjaga fizikal. Yang dipentingkan semua melibatkan penilaian luaran. Pangkatnya tinggi atau rendah, kereta mewah atau kereta biasa dan rumah besar atau kecil. Masalah manusia pada tahap `atlet’ selalunya tidak bersyukur. Mengutuk diri sendiri. Selalu tidak bahagia dan tidak tenang, selalu merungut dan mengeluh. Hidup mula dibelenggu masalah, kerana sentiasa berasa hebat dan lupa akan kehebatan Allah SWT. Menggandakan usaha dengan tulang empat kerat ketika sihat semata-mata untuk mendapatkan kebahagiaan duniawi hingga lupa persediaan menghadapi kehidupan akhirat.

Manusia pada `tahap pahlawan’ pula bertambah terbeban hidupnya dengan masalah, kerana pada tahap ini sentiasa hendak menjadi yang terbaik. Pada tahap ini juga seseorang itu sudah mula mempunyai matlamat kehidupan. Maka bermulalah hidup dalam situasi sentiasa hendak berlawan, berebut dan bersaing. Sentiasa berasa tidak cukup. Berasa apa yang diperoleh adalah hasil daripada usaha sendiri. Mula berasa dunia begitu sempit dan kita berebut-rebut untuk mendapatkan hasil yang dimahukan.

Kita berasa tertekan dan sentiasa tertekan apabila segala yang dikejar tidak tercapai. Hidup pada tahap ini benar-benar dirasakan dibelenggu masalah. Tidak boleh hendak ke mana. Ke kiri ke kanan ke depan ke belakang ke atas ke bawah, semuanya bermasalah. Sungguhpun begitu, sebesar mana pun masalah, ia tidak boleh dibiar tersadai. Perlu segera diselesaikan. Jangan lupa, hidup ini setiap saat akan dikuasai oleh tiga bisikan iaitu bisikan syaitan, bisikan malaikat dan bisikan manusia bertopengkan syaitan yang sering mengajak ke arah kejahatan dan kesesatan. Justeru, jika tidak pandai mengawal minda dan hati akan mudah terdorong ke arah negatif.

Seperkara lagi, apabila timbul masalah kitalah yang perlu mengatasi masalah tersebut, bukan berharap kepada orang lain menyelesaikannya. Sekiranya ditakdir dan diberikan kepercayaan untuk membantu menyelesaikan masalah orang lain, berikan dia `jalan’ penyelesaian bukan bantu selesaikan. Analoginya, kalau diberikan sepasang baju kepada seseorang yang memerlukan baju, bermakna orang tersebut hanya dapat memakai sehelai baju. Tetapi, jika diberikan mesin jahit dan ilmu menjahit, orang berkenaan boleh memikirkan pelbagai perkara yang boleh diusahakan dengan mesin jahit tersebut . Bukan setakat menjahit baju sendiri tetapi boleh menjana pendapatan (manfaatnya berpanjangan).

Orang yang positif tidak takut mencuba sesuatu yang baharu dalam hidupnya dan sentiasa mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan sesuatu cabaran yang lebih besar dalam hidup. Tidak mudah berputus asa, yakin kepada diri sendiri, ikhlas, tulus, tidak suka hidup dalam kepura-puraan dan terima kenyataan hidup dengan seadanya. Orang yang mempunyai nilai atau harga diri positif, walau di mana berada dan dengan siapa dia jalinkan kerjasama, orang seperti ini tetap sama dari segi sikap, tingkah laku, keimanan dan hati budi. Sentiasa tenang biarpun berhadapan dengan situasi yang negatif.

Jika seseorang itu mencari faktor luar untuk menjustifikasikan hasil kehidupannya – kebahagiaan, ketenangan, kesihatan dan kekayaan (4K), maka dia tidak akan berjaya dan akan sentiasa berfikiran `menjadi mangsa’ kepada orang dan situasi. Dia akan hilang ketenangan, tidak bahagia, menghadapi stres berpanjangan, sering susah hati, fikiran kusut dan hati berserabut, tatkala ditimpa masalah.

Kesimpulannya, hidup akan bermasalah jika pertama, apabila masalah yang ada tidak cepat diselesaikan sebab sibuk mencari siapa salah dan bukan mencari punca masalah untuk dicegah atau diselesaikan. Kedua, apabila kita tidak mengambil tanggungjawab terhadap masalah itu. Ketiga, apabila tidak menjadi orang yang bersyukur atas nikmat Allah. Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini