SUNGAI PETANI – Satu mayat lelaki dipercayai warga asing yang disyaki dibunuh ditemui di tepi jalan Batu 37 Jalan Bukit Selambau-Jeniang berhampiran ladang kelapa sawit di sini hari ini.
Mayat mangsa berusia awal lingkungan 30-an itu ditemui seorang penduduk kampung kira-kira pukul 7 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, penduduk terbabit kemudian memaklumkan kejadian kepada seorang pekerja ladang berhampiran sebelum dia menghubungi Balai Polis Bukit Selambau.
“Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring kira-kira 1.5 meter dari jalan menghala Jeniang, Sik dekat sini dengan hanya memakai seluar jeans pendek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, pemeriksaan pihak forensik mendapati mayat mempunyai kesan kecederaan pada bahagian atas kening sebelah kanan dipercayai dipukul dengan objek tumpul selain luka kecil di bawah mata kiri.
“Si mati juga didapati mempunyai tatu di lengan kiri, namun tidak signifikan dengan mana-mana kumpulan kongsi gelap selain bertindik pada kedua-dua belah telinga,” ujarnya.
Menurut Adzli, mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu dipercayai mati di tempat lain sebelum dicampakkan di tepi jalan tersebut.
“Kita turut menemui apron berwarna hijau pada jarak 50 meter yang disyaki mempunyai sedikit kesan darah,” jelasnya.
Ujarnya, pihaknya juga telah menghubungi tujuh ladang sekitar Bukit Selambau dan dimaklumkan tiada pekerja mereka yang hilang.
“Pemeriksaan di ladang-ladang berdekatan sedang dijalankan termasuk membuat semakan dengan daerah berdekatan seperti Sik dan Baling,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE











